fbpx
24 Nov

Minum Kopi Ini Sihat Atau Bahaya?

Kopi mengandungi banyak khasiat yang baik untuk pesakit diabetes, penyakit nyanyuk dan kesihatan jantung. Namun begitu, kajian terbaru nampaknya menyarankan bahawa kebaikan atau keburukannya tertakluk kepada kecenderungan genetik anda dan faktor lainnya. Mari kita lihat penjelasannya.

 

Ada orang tidak boleh hidup tanpa kopi.

 

Saya baru sahaja membentuk minat terhadap kopi dewasa ini. Kopi merupakan agen booster otak (nootropik)  yang hebat bagi meningkatkan mood, kecekapan kognitif, memori dan kreativiti otak.

Ia adalah pengalaman luar biasa. Dengan pengetahuan, teknik minum kopi yang betul, saya mampu meningkatkan kesihatan saya ke tahap yang baru.

 

Namun begitu, tidak semua orang jadi semakin sihat dengan  amalan minum kopi. Genetik memainkan peranan yang sangat penting menentukan sama ada kita lebih serasi atau perlu lebih berwaspada dalam amalan minum kopi.

Pakar kesihatan mempunyai pandangan yang bercanggah mengenai kopi. Kajian pada tahun 2006 di dalam jurnal  menunjukkan kopi mampu mencetus sakit jantung bagi “light drinker” (1). Namun kajian oleh American Heart Association (AHA) menunjukkan pengambilan sederhana kopi mampu mengurangkan risiko kegagalan jantung.

WHO pula sudah bertukar fikiran. Selama bertahun-tahun, kopi dikelaskan sebagai “kemungkinan menyebabkan kanser”. Kali ini WHO mengatakan tiada bukti mencukupi untuk dakwaan kanser (2) malah sebaliknya kopi mencegah sekurangnya 2 penyakit kanser.

 

Kenapa banyak kekeliruan dan percanggahan penemuan kesihatan mengenai amalan minum kopi ya?

 

Ia mungkin berkait dengan kecenderungan kita mendapat manfaat atau mudarat amalan minum kopi menurut kod genetik yang kita warisi.

Kecenderungan Genetik: Anda Pengurai Pantas atau Pengurai Perlahan?

Genetik "pengurai kopi pantas" menyumbang kepada kecenderungan kesihatan kita terhadap amalan minum kopi. Pengurai perlahan lebih berisiko kesihatan.

Kopi merupakan sumber kafein utama kegemaran rakyat Malaysia. Apabila kafein diminum, ia diproses di hati dengan bantuan enzim utama detoksifikasi (3) yang dikod oleh CYP1A2 gene.

Setengah orang mempunyai variasi gen CYP1A2 yang menentukan seseorang itu pengurai pantas atau perlahan:

  • CPA1A2*1F : Pengurai perlahan memproses kopi dengan lebih perlahan
  • CPA1A2*1A : Pengurai pantas memproses kopi 4 kali lebih pantas.

 

Pengurai Perlahan – CPA1A2*1F

Pengurai perlahan menurut kajian dikaitkan dengan risiko:

  • Penyakit jantung : Kajian ke atas 4000 dewasa yang separuhnya bekas pesakit serangan jantung menunjukkan risiko 36 peratus serangan jantung dengan amalan 4 cawan kopi atau lebih setiap hari (4)
  • Risiko tekanan darah tinggi : (5)
  • Gangguan paras gula darah berpuasa (6)
  • Tidak melindungi kanser sebagaimana kelebihan dinikmati peminum kopi pengurai pantas (78)
  • Kesuburan: wanita yang mengambil lebih 100mg kopi sehari (secawan) lebih berisiko keguguran kandungan atau kurang subur. (9)

Pengurai Pantas CPA1A2*1A

Pengurai pantas:

  • Kurang risiko serangan jantung, tekanan darah tinggi, gangguan gula darah, risiko kanser dan kesuburan berbanding pengurai perlahan.
  •  Namun begitu, pengurai pantas lebih berisiko pengurangan ketumpatan tulang berbanding pengurai perlahan.(10)

 

Kedua pengurai pantas dan pengurai perlahan mendapat manfaat perlindungan penyakit  saraf seperti parkinson dengan amalan minum kopi. (11)

Pengurai pantas kelihatan mempunyai kelebihan amalan kopi berbanding pengurai perlahan. Menurut saintis pengkaji Dr Dr. El-Sohemy mengesyaki kafein berlegar lebih lama di dalam sistem, maka lebih masa kafein mencetus serangan jantung. Pengurai pantas memanfaatkan kandungan semulajadi kopi seperti polyphenols, antioksida, dan kompaun bioaktif tanpa kesan sampingan kafein yang lama di dalam sistem detoksifikasi.

Apa Pengajaran Yang Kita Boleh Ambil?

  • Pengurai perlahan secara amnya patut menghadkan pengambilan kopi harian kepada 1-2 cawan  sehari (100mg-200mg kafein).
  • Kebanyakan kajian saintifik menunjukkan pengambilan di bawah 100mg tidak memudaratkan kesihatan. Maka adalah selamat secara amnya minum kopi secawan sehari bagi mana-mana individu sihat.

 

  • Berikut adalah panduan kafein di dalam satu hidangan:
  1. Kopi drip : 115 – 175 mg secawan (240ml)
  2. Kopi brew: 80 – 135 mg secawan (240ml)
  3. Espresso: 40 mg sedas
  4. Teh hitam: 47 mg secawan(240ml)
  5. Teh hijau: 30 mg secawan (240ml)
  6. Kopi dekaf: 5 mg secawan
  7. Coklat hitam: 20 mg per 30ml

MINUM KOPI BAHAYA ATAU SIHAT BERGANTUNG KEPADA GENETIK SEMATA-MATA?

Genetik memainkan peranan yang penting menentukan kecenderungan seseorang mendapat mudarat atau manfaat kesihatan dengan amalan minum kopi.

Ia bukan muktamad…bermakna toleransi terhadap kopi boleh berubah dengan faktor-faktor lain. Banyak faktor-faktor yang boleh meningkatkan atau melemahkan fungsi enzim detoksifikasi kopi ini. Antaranya:

  1. Bebanan toksin persekitaran pada badan.
  2. Nutrisi
  3. Ubatan
  4. Jangkitan kuman.
  5. Stres dalaman, keradangan dan emosi toksik.

 

Saya akan huraikan faktor selain genetik ini di masa akan datang insha Allah. Genetik mungkin menyumbang kepada kecenderungan kita jadi sihat atau sakit dengan pengambilannya.

 

Apa yang jelas ialah minum kopi secara berlebihan sehingga ketagihan padanya sudah tentulah memudaratkan kesihatan. Berpadalah minum kopi dan sentiasa dengar apa kata tubuh badan kita dengan setiap amalan pemakanan kita.  Wallahua’lam.

 

Hafiz
Hafiz merupakan seorang pengamal nutrisi functional yang mula menyebarkan kesedaran kesihatan melalui media digital dan juga ceramah kesihatan badan kerajaan dan korporat. Beliau juga memberi coaching peribadi pemakanan dan pemulihan kesihatan secara holistik.

Leave A Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

9 + fourteen =

error: Content is protected !!